Bab 1 : Sipi-Sipi Selamat - Bahagian 5

>> Monday, November 20, 2017

“Ada orang menggembala lembu di tepi jalan agaknya,” fikir Tom. “Harap-harap lembu-lembu itu tak halang jalan aku. Atau sebenarnya, aku yang halang jalan? Rasanya lebih baik aku ke tepi, tapi ruang tak cukup besar.”

Awan debu itu semakin dekat. Ia begitu tebal hingga tak dapat dipastikan siapa atau apa yang menghasilkannya. 

“Mesti banyak lembu dalam kawanan itu,” Tom terfikir lagi. “Takkanlah lembu dibawa berjalan-jalan di hari yang panas begini. Entah-entah lembu merempuh. Kalau begitu, aku kena hati-hati.” Memikirkan kemungkinan itu, dia pun berjaga-jaga.

Dia cuba mengintai di celah-celah awan debu, tapi apapun tak nampak. Awan debu itu semakin lama semakin dekat. Tom terus mengayuh, cuba sedaya upaya untuk berada betul-betul di tepi jalan. Kemudian, dari kepulan yang menyelubungi itu, terdengar bunyi ‘cag-cag’ yang berterusan.

“Motosikal!” jerit Tom. “Mesti dia biarkan peredam bunyi terbuka. Sebab itulah banyak debu apabila roda berpusing. Tapi, siapa pun yang menunggang motor itu, teruklah keadaan dia di hujung jalan nanti!”

Memandangkan dia dah tahu penunggang lain yang menyebabkan keributan itu, Tom mula menunggang ke tengah jalan. Dia belum nampak orangnya, tapi bunyi motor bukan main berdentum-dentum. Tiba-tiba, ketika debu halus pertama menyentuhnya, dan menyebabkan dia terbersin, Tom nampak penunggang motor itu. Lelaki pertengahan usia itu sedang berpaut pada hendal motor, manakala motornya pula bergerak selaju-lajunya.

Tom segera beralih ke tepi, untuk mengelak debu berkepul-kepul itu. Penunggang motor itu mengerling ke arah Tom sepintas lalu, tapi tindakannya itu ternyata membawa kecelakaan. Sekejap saja dia mengalihkan mata dari memandang jalan di depan. Dia tak nampak seketul batu besar betul-betul di depan laluannya. Roda depan melanggar batu itu, dan motor berat yang tak berapa pandai dia mengawalnya itu, menggelincir ke arah Tom. Penunggang motor itu terpelanting-pelanting dari tempat duduk, dan pegangan tangannya hampir-hampir terlepas dari hendal.

“Jaga-jaga!” teriak Tom. “Nanti terlanggar saya!”

“Saya sedang cuba elak!” kedengaran suara lelaki berusia itu berdetar-detar.

Tom segera membelok agar tidak terlanggar. Penunggang motosikal itu juga cuba membelok, tapi nampaknya motosikalnya itu tak mendengar kata. Motosikal itu terus menuju ke arah Tom, dan kalaulah tiada seketul batu lagi yang menjadi penghalang, tentu berlakunya pertembungan yang teruk. Roda depan melanggar batu dan melencong ke tepi. Penunggang motosikal itu sepantas kilat melepasi Tom, ikut saja ke mana motosikal membawanya pergi, dan kemudian bayangnya menghilang bersama debu-debu yang berkepul-kepul.

“Kenapa tak belajar menunggang motosikal sebelum keluar berjalan-jalan?” suara Tom bertingkah agak tinggi.

Seperti gema, kata-kata ini datang dari balik awan debu, “Sedang belajarlah ini!” Kemudian bunyi enjin berdentum semakin perlahan.


“Banyak lagi dia kena belajar!” kata Tom. “Dua kali aku nyaris dilanggar hari ini. Lebih baik aku berjaga-jaga untuk kali ketiga. Kata orang, biasanya kali ketiga itu boleh bawa maut!” Dia melompat dari basikal. “Ada tak jejari roda yang kemek?” sambung Tom lagi sambil membelek-belek basikal. 

Read more...

Bab 1 : Sipi-Sipi Selamat - Bahagian 4

>> Sunday, November 19, 2017

En. Barton Swift seorang pereka sejati. Sejak kecil, dia berminat pada hal-hal mekanikal. Antara usaha pertamanya ialah mencipta satu sistem yang terdiri daripada takal, tali dan gear untuk membolehkan kincir angin menggerakkan penggodak di rumah ladang tempat kelahirannya. Walaupun kincir itu berpusing dengan terlalu pantas hingga pecah penggodak itu, dia tak patah semangat. Dia terus membuat kerja-kerja pembaikan dengan menukar gear. Ayahnya terpaksa membeli penggodak baru, tapi pereka muda itu pastikan cubaan keduanya berhasil, dan selepas itu, mudah bagi ibunya untuk membuat mentega.

Sejak itu, En. Barton hidup dalam dunia rekaan. Orang selalu berkata bahawa dia takkan ke mana-mana, bahawa pereka takkan berjaya dalam hidup, tapi dia membuktikan kata-kata mereka salah dengan mengumpulkan kekayaan melalui paten-patennya yang banyak. Apabila usianya meningkat, dia berkahwin dan mendapat seorang anak, iaitu Tom. Isterinya meninggal dunia ketika Tom berusia tiga tahun. Maka sejak itu, Tom hidup bersama ayahnya, dengan jururawat dan pengurus rumah yang silih berganti. Wanita terakhir yang menguruskan rumah mereka adalah Puan Baggert, seorang balu bersifat keibuan. Dia melakukan kerjanya dengan begitu baik, menyebabkan Tom dan ayahnya sangat suka padanya dan menganggap dia sebagai keluarga, dan hingga kini telah berkhidmat selama sepuluh tahun.

En. Barton dan anak lelakinya itu tinggal di sebuah rumah yang tersergam indah di pinggir sebuah desa bernama Shopton, di New York State. Desa itu berdekatan dengan sebuah tasik bernama Tasik Carlopa. Di situlah Tom dan ayahnya banyak menghabiskan masa menaiki bot, kerana mereka berdua sangat rapat. Mereka sentiasa kelihatan mendayung sampan bersama, atau memancing. Memanglah Tom ada beberapa kawan, tapi dia lebih banyak meluangkan masa dengan ayahnya berbanding mereka.

Walaupun banyak rekaan En. Barton memberikan pendapatan lumayan kepadanya, dia sentiasa mahu menambah baik rekaan. Untuk itu, dia membina beberapa bengkel berdekatan rumahnya dan melengkapinya dengan enjin, mesin larik dan perkakas untuk pelbagai kerja. Tom juga mempunyai darah pereka mengalir di badannya, dan telah merancang beberapa peralatan dan mesin kecil yang berguna.


Pada suatu hari yang cerah di bulan April, Tom Swift menunggang basikal menelusuri jalan-jalan kampung yang indah pemandangannya menuju Mansburg untuk mengepos surat. Ketika dia menuruni sebuah bukit yang kecil, sayup-sayup dia ternampak segumpalan debu besar menuju ke arahnya.

Read more...

Bab 1 : Sipi-Sipi Selamat - Bahagian 3

Perlahan-lahan Tom menaiki basikal dan mengayuh. Fikirannya dipenuhi dengan perkara-perkara yang buruk tentang Andy. Andy anak orang kaya di bandar itu. Nampaknya kekayaan wang ringgit telah membuat dia naik lemak, hingga dia menjadi seorang pembuli dan pengecut. Beberapa kali dia dan Tom Swift bertelingkah, kerana sikapnya yang suka menguasai orang lain. Tapi ini kali pertama dia menunjukkan perasaan penuh dendam.

“Mentang-mentang ada kereta baru. Dia ingat, dia boleh langgar semua benda?” omel Tom sendirian sambil mengayuh. “Kalau tak hati-hati, satu hari nanti dia akan kemalangan. Dia suka sangat memandu laju. Agaknya, dia dan kawan-kawannya nak pergi mana?”

Sambil mengelamun mengenangkan hal yang berlaku, Tom terus mengayuh hingga sampai ke rumahnya. Dia tinggal bersama ayahnya, Barton Swift, seorang pereka cipta yang telah kematian isteri, dan pengurus rumah, Puan Baggert. Tom mendekati salah sebuah bengkel yang dibina oleh ayahnya berhampiran rumah mereka untuk menjalankan eksperimen dan memasang perkakas. Di situ dia menemui ayahnya.

“Kenapa, Tom?” tanya En. Barton. “Macam ada sesuatu yang berlaku saja.”

“Hampir-hampir berlaku,” jawab Tom. Dia menceritakan pengalamannya di jalanan.

“Meronda-ronda dengan basikal kamu itu mungkin berakhir dengan kecelakaan,” kata En. Barton. 

“Rasanya Andy dan kawan-kawannya pergi melancong. Ayah Andy ada cerita pada ayah tempoh hari. Katanya, Andy dan kawan-kawannya akan pergi seminggu dua. Syukurlah tiada apa-apa yang buruk berlaku. Tapi, kamu ada urusankah, Tom?

“Tak, saya menunggang basikal suka-suka saja. Kalau ayah nak suruh saya buat apa-apa, saya sedia membantu.”

“Kalau begitu, ayah nak kamu bawa surat ini ke Mansburg. Ayah nak ia dihantar sebagai surat berdaftar, dan ayah tak nak poskan melalui pejabat pos Shopton. Ia terlalu penting, sebab ia tentang rekaan yang berharga.”   

“Rekaan motor turbin yang baru itu, Ayah?”

“Ya, dan alang-alang kamu ke sana, nanti kamu singgah di bengkel Merton dan ambilkan beberapa bolt yang dia buat untuk ayah.”

“Baiklah. Inikah suratnya?” Tom menghulurkan tangan untuk menerima surat daripada ayahnya.

“Ya, tolong jaga dengan baik. Itu surat kepada peguam ayah di Washington berkenaan langkah terakhir dalam mendapatkan paten bagi turbin tersebut. Sebab itulah ayah tak mahu ia diposkan dari sini. Dah beberapa kali sebelum ini ayah menghantar surat dari sini, tapi maklumat yang terkandung dalam surat terbocor sebelum peguam ayah menerimanya. Ayah tak nak hal ini berlaku bagi kes ini. Seperkara lagi, jangan cakap pasal rekaan baru ayah di bengkel Merton ketika kamu singgah mengambil bolt.”

“Kenapa? Ayah rasa dia bocorkan maklumat kerja ayah?”

“Taklah begitu. Mungkin dia tak berniat begitu. Tapi, dia beritahu ayah tempoh hari ada orang tak dikenali bertanya kepada dia kalau-kalau dia ada buat apa-apa kerja untuk ayah.”

“Apa yang dia beritahu mereka?”

“Dia cakap, kadang-kadang dia ada buat kerja untuk ayah. Tapi, kebanyakan kerja-kerja rekaan ayah dilakukan sendiri di bengkel ayah ini. Dia pun tanyalah kenapa mereka tanya-tanya soalan begitu. Salah seorang daripada mereka kata yang mereka nak buka bengkel tak lama lagi, dan nak pastikan mereka boleh berniaga dengan ayah. Tapi, ayah tak rasa itu tujuan sebenar mereka.”

“Ayah rasa apa tujuan mereka?”

“Entahlah, ayah tak pasti. Tapi, ayah agak terkejut apabila mendengar hal ini daripada Merton. Jadi, ayah tak nak ambil risiko. Sebab itulah ayah nak pos surat ini dari Mansburg. Jangan hilangkan, dan jangan lupa ambil bolt. Ini cetakan biru bagi bolt itu, jadi kamu boleh periksa sama ada ia dibuat ikut spesifikasi.”

Tom berlalu pergi dengan basikalnya dan tak lama kemudian, dia kelihatan sedang mengayuh basikal di jalan.

“Agak-agak aku jumpa lagi tak Andy Foger dan konco-konconya?” dia terfikir. “Mungkin tak, kalau mereka sedang menjelajah. Sudahlah, memang ada-ada saja masalah kalau aku dan dia bertembung.”
Tom tak ditakdirkan untuk bertemu Andy lagi hari itu, tapi akan tiba masanya si pembuli berambut merah itu menyusahkan Tom, bahkan menjerumuskan Tom ke dalam bahaya.

Tom terus mengayuh basikal sambil memikirkan kata-kata ayahnya tentang surat yang dibawanya.

Read more...

Bab 1: Sipi-Sipi Selamat - Bahagian 2

>> Saturday, November 11, 2017

Andy melompat dari tempat duduk dan segera memeriksa kereta. Keretanya tiada apa-apa, walaupun boleh dikatakan ia kerana nasib, bukan pengawalan yang baik. Andy kemudiannya menoleh, dan memandang Tom dengan wajah bengis. Tom menyandarkan basikal ke pagar dan berjalan ke arah Andy.

“Kenapa kau halang jalan aku macam itu?” tanya Andy dengan wajah yang marah. “Tak nampakkah kau hampir buat aku naik darah?”

“Berani kau, Andy!” jerit Tom. “Apa niat kau? Kenapa tak bunyikan hon awal-awal? Pemandu kereta memang melampau. Apapun, kau memandu melebihi had kelajuan yang dibenarkan!”

“Yakah?” ejek Andy.

“Ya, dan kau sendiri pun tahu. Aku yang patut marah, bukan kau. Kau nyaris-nyaris langgar aku. Aku halang jalan kau? Aku pun ada hak di jalan ini!”

“Cakaplah lagi,” gerutu Andy. Tiada apa boleh dia katakan. “Apapun, basikal dah ketinggalan zaman.”

“Baru saja tak lama dulu kau ada basikal,” balas Tom. “Kalau kau tak hati-hati, satu hari nanti kau dipanggil polis kerana memandu melebih had.”

“Rasanya lebih baik kita bawa kereta dengan perlahan, Andy,” nasihat Sam dengan suara yang perlahan. “Aku tak nak ditangkap.”

“Biar aku uruskan hal ini. Aku yang memandu,” getus Andy. “Lain kali kalau kau halang jalan aku, aku langgar saja!” ugut Andy kepada Tom.

“Mari, kawan-kawan. Kita dah lambat. Tak bolehlah cipta rekod. Semuanya salah dia,” kata Andy. Dia kembali memasuki kereta, dan diikuti oleh konco-konconya yang telah terkocoh-kocoh keluar dari kereta selepas kereta terbabas.

“Kalau kau cuba-cuba bertindak begini lagi, kau akan menyesal nanti,” kata Tom.

“Sudahlah!” bentak Andy. Dia kemudiannya ketawa, dan kawan-kawannya turut ketawa. Tom tidak membalas. Perlahan-lahan dia menaiki basikal dan menyambung perjalanan.

Read more...

  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP