Bab 1: Sipi-Sipi Selamat - Bahagian 2

>> Saturday, November 11, 2017

Andy melompat dari tempat duduk dan segera memeriksa kereta. Keretanya tiada apa-apa, walaupun boleh dikatakan ia kerana nasib, bukan pengawalan yang baik. Andy kemudiannya menoleh, dan memandang Tom dengan wajah bengis. Tom menyandarkan basikal ke pagar dan berjalan ke arah Andy.

“Kenapa kau halang jalan aku macam itu?” tanya Andy dengan wajah yang marah. “Tak nampakkah kau hampir buat aku naik darah?”

“Berani kau, Andy!” jerit Tom. “Apa niat kau? Kenapa tak bunyikan hon awal-awal? Pemandu kereta memang melampau. Apapun, kau memandu melebihi had kelajuan yang dibenarkan!”

“Yakah?” ejek Andy.

“Ya, dan kau sendiri pun tahu. Aku yang patut marah, bukan kau. Kau nyaris-nyaris langgar aku. Aku halang jalan kau? Aku pun ada hak di jalan ini!”

“Cakaplah lagi,” gerutu Andy. Tiada apa boleh dia katakan. “Apapun, basikal dah ketinggalan zaman.”

“Baru saja tak lama dulu kau ada basikal,” balas Tom. “Kalau kau tak hati-hati, satu hari nanti kau dipanggil polis kerana memandu melebih had.”

“Rasanya lebih baik kita bawa kereta dengan perlahan, Andy,” nasihat Sam dengan suara yang perlahan. “Aku tak nak ditangkap.”

“Biar aku uruskan hal ini. Aku yang memandu,” getus Andy. “Lain kali kalau kau halang jalan aku, aku langgar saja!” ugut Andy kepada Tom.

“Mari, kawan-kawan. Kita dah lambat. Tak bolehlah cipta rekod. Semuanya salah dia,” kata Andy. Dia kembali memasuki kereta, dan diikuti oleh konco-konconya yang telah terkocoh-kocoh keluar dari kereta selepas kereta terbabas.

“Kalau kau cuba-cuba bertindak begini lagi, kau akan menyesal nanti,” kata Tom.

“Sudahlah!” bentak Andy. Dia kemudiannya ketawa, dan kawan-kawannya turut ketawa. Tom tidak membalas. Perlahan-lahan dia menaiki basikal dan menyambung perjalanan.

0 comments:

  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP